Home    Johor tangani rumah mahal dengan skim sewa beli rumah

KERAJAAN negeri berhasrat memperkenalkan skim sewa beli bagi Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Rumah Komuniti Pakej A dan Pakej B bagi membantu rakyat memiliki rumah sendiri, kata Menteri Besar Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata skim tersebut akan diperkenalkan menerusi Ekspo Johor Berkemajuan di Kota Iskandar, Iskandar Puteri mulai 6 hingga 14 Oktober ini.

“Kerajaan negeri komited menyediakan rumah kepada rakyat kerana apa maknanya pembangunan pesat di Johor, sekiranya rakyat tiada rumah,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci RMMJ Taman Scientex di Pasir Gudang hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Md Jais Sarday, Ahli Parlimen Pasir Gudang Normala Abd Samad dan Pengarah Eksekutif Scientex Quatari Sdn Bhd Alex Khaw.

Skim sewa beli itu ditumpukan di selatan kerana ramai yang berhijrah di sebelah selatan, katanya Johor, katanya.

“Buat masa ini kerajaan Johor sudah membeli 190 unit rumah dari Johor Corporation sebagai permulaan pelaksanaan skim tersebut. Skim sewa beli ini terbuka kepada semua yang layak termasuk mereka yang memohon untuk membeli RMMJ namun gagal mendapat kelulusan pinjaman,” kata Mohamed Khaled.

Projek Taman Scientik itu melibatkan 701 unit yang terdiri daripada 224 unit RMMJ bernilai RM150,000 dan 477 Rumah Komuniti Pakej B bernilai RM80,000.

Seorang penerima kunci Hairul Anuar Masrol, 36, gembira dan bersyukur kerana memperoleh rumah RMMJ yang akan didudukinya awal tahun depan.

“Sebelum ini saya menyewa rumah di Kota Masai dengan kadar RM500 sebulan sejak 10 tahun lepas. Sebelum ini saya juga ada mencari rumah lain tetapi harganya mahal,” katanya. – Bernama, 23 September, 2017.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published.